jump to navigation

Asas Kewangan 101: Bebas dari Masalah Kewangan? September 8, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in business, Kanvas.
Tags: , , ,
add a comment

Tiada istilah financially free atau dari erti kata lain, bebas dari masalah kewangan. Situasi ini berlaku kerana setiap pergerakan atau keperluan kita memerlukan duit. Tidak kira sama ada kita ingin tinggal di kampung atau di bandar, hidup secara marhain atau mewah, kita memang memerlukan duit.

Malah Robert T. Kiyosaki mengatakan masalah mengenai kewangan tidak akan meninggalkan kita tanpa mengira kita ini miskin atau kaya. Cuma kita perlu memilih untuk menghadapi masalah kekurangan duit atau masalah terlebih duit dan kedua-duanya tetap satu permasalahan yang perlu diselesaikan.

Lebih malang lagi apabila masalah kewangan ini akan menghantui kita hinggalah kita menghembuskan nafas terakhir. Lagi menyedihkan apabila kita semakin tua, semakin banyak kewangan yang kita perlukan bagi menyelesaikan masalah kesihatan yang kita tidak akan duga. Kala usia ini, kita tidak lagi memiliki tubuh dan minda yang segar untuk mengumpulkan duit.

Situasi ini berlaku kerana kita hidup sebagai manusia yang bergantung kepada satu sama lain dan kebergantungan inilah yang menekan kita, lebih-lebih lagi apabila setiap kebergantungan ini seperti minyak, api, air, makanan, perubatan dan sebagainya memerlukan duit.

Mungkin sebahagian daripada kita sedar permasalahan ini dan ramai diantaranya mengambil langkah berjimat atau lebih masyhur dengan ayat simpanan hari tua. Tetapi sedarkah kita nilai RM100 yang kita simpan hari ini tidak akan sama nilainya bila kita memerlukannya. Nilai RM100 ketika itu mungkin naik atau turun dan kebiasaannya menurun.

Kita sering mendengar orang-orang tua berkata: “Anak-anak sekarang mewah, zaman kita dulu belanja sekolah hanya 5 sen sahaja tetapi budak-budak zaman sekarang belanja sekolahnya RM5. Itu pun tak cukup.”

Mengenai hal ini, bukan generasi baru yang perlu dipersalahkan dan bukan generasi terdahulu yang perlu menggalas beban. Inilah fenomena yang terjadi pada abad ini dan tidak mustahil permasalahan ini akan berterusan.

Satu lagi masalah kronik yang perlu dibicarakan adalah cara kita dibesarkan lebih-lebih lagi generasi baru Melayu. Kita sering dididik untuk belajar tinggi-tinggi untuk dapat gaji yang lumayan.

Cara ini tidak salah tetapi cara ini tidak menyelesaikan masalah. Makan gaji atau erti kata lain bekerja untuk orang lain bukan satu penyelesaian kerana kita masih lagi bergantung dan satu kebergantungan yang cukup menekan.

Kita sering risau sama ada perkhidmatan kita masih di perlukan, kontrak akan disambung atau tidak, gaji naik ker dan bagaimana pula dengan bonus?

Persoalan demi persoalan bermain di fikiran kerana keperluan kita semakin meningkat akibat daripada nilai wang yang semakin menurun dan inflasi yang semakin meningkat. Pendek kata, kos kehidupan tidak pernah menurun.

Sekali lagi, persoalannya kembali kepada sama ada kita memilih untuk memiliki masalah kekurangan duit atau terlebih duit, atau lebih menarik jika ayat yang digunakan, sama ada duit kawal kita atau kita kawal duit. Dan sekali lagi masalah ini tidak akan berhenti.

Terus terang aku mengatakan, aku juga tidak bebas dari permasalahan ini. Aku hanya tersedar kala usia aku sudah lebih dari suku abad dan tanggungjawab di masa hadapan akan menjadi lebih berat.

Namun, kata Abah: “Masih belum terlewat.” Dan ini yang aku pegang sekarang. Pegangan ini akan aku kongsikan bersama rakan-rakan yang lain.

Cuma buat permulaan aku boleh katakan penyelesaiannya bergantung kepada pengetahuan yang kita ada dan pengetahuan yang aku maksudkan bukanlah mengenai pengetahuan untuk menjadi wartawan atau penerbit seperti kejaya aku kini tetapi pengetahuan mengenai kewangan.

Aku masih lagi dalam langkah yang pertama dan akan aku kongsikan dengan rakan-rakan setiap langkah aku ini supaya kita dapat berjaya bersama-sama.

Abah juga pernah berkata: “Bagaimana kita nak tolong orang lain jika kita tidak dapat tolong diri sendiri.” Inilah yang ingin aku tekankan dan bunyi yang lebih aku suka adalah kita wajib jadi kaya.

Sekian, dan bakal bersambung di kemudian hari…

Kala aku menyepi… July 23, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Kanvas.
3 comments

Mohd Yaakob Yusof dikenali di Malay Mail, FM Production dan TV AL Hijrah sebagai seorang yang ‘mungkin’ ceria, banyak mulut, kuat menyanyi lagu-lagu lama dan suka mengacau orang.

Namun hari ini, kala aku duduk di hadapan meja ku yang kian berserakan, ramai rakan-rakan yang kian resah. Insan yang paling resah adalah insan yang bakal aku angkat martabatnya sebagai isteri ku.

Keresahan ini wujud selepas aku bertindak untuk duduk berdiam diri dan menjadi insan yang kontra daripada sifat-sifat yang pernah aku ceritakan di atas. Aku hanya duduk diam dihadapan komputer, jarang bersuara dan hanya sekali sekala bangkit dari tempat duduk untuk mendapatkan asap daripada rokok-rokok yang berada dalam kocek ku ini.

Bukan niat aku ingin duduk berdiam diri atau tidak menjadi diriku yang sebenar. Tapi aku sendiri tidak tahu mengapa aku jadi sebegini. Puncanya aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku dapat rasakan diriku malas untuk berbicara sejak dari hari Selasa dan kemuncaknya pada hari ini, Jumaat.

Meski sebelum ini aku lebih dididik oleh insan-insan disekelilingku untuk kenal pasti masalah, cari punca dan selesaikan masalah, tetapi hari ini aku gagal melaksanakan ketiga-tiganya. Aku jadi buta dalam mengenali diriku sendiri.

Sama ada perubahan ini dalam diri aku ini akan menjadi baik atau aku akan kembali menjadi diri ku yang sebenar, tidak dapat aku ketahui atau nilai. Kalau berdasarkan catatan Harian Metro, keadaan ini mungkin tanda kepada saat yang … sukar untuk aku nyatakan tetapi timbul dalam diriku merasakan itulah saat yang aku rindui.

Segalanya di tangan Allah yang Maha Esa. Aku sekadar insan yang melalui setiap yang telah disediakan. Aku redha dengan segalanya…

Isteri Bangsawan… June 9, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Kanvas.
Tags: , ,
1 comment so far

Kami Yang Terlibat

Pagi ini kala aku leka mengemas dan membersihkan meja ku di pejabat, aku terserempak dengan buku Kami yang Terlibat, sebuah buku koleksi cerpen nukilan Usman Awang. Buku ini sudah lama ku beli, sehinggakan resit pembayarannya yang masih ku simpan buat rujukan Lembaga Hasil Dalam Negeri telah hilang tulisan dan harganya.

Buat pertama kali aku membuka dan membaca buku tersebut dan mata ku terus berlari ke cerpen pertama yang berjudul “Untuk Jadi Isteri Orang Bangsawan”, sebuah karya yang menarik dan mengisahkan mengenai seorang gadis penuntut yang telah menerima pinangan orang bangsawan dan meninggalkan kekasihnya yang hanya seorang petani.

Sepanjang mata ku berlari dari satu baris ke satu baris, aku dapati cerpen ini mengetengahkan sepenuhnya surat yang ditulis oleh seorang petani kepada bekas kekasihnya yang mengharapkan kekasihnya akan memilih dirinya sebagai suami dan menetap di kampung bagi memberi pendidikan kepada orang kampung dan para petani sepertinya.

Petani ini hampa kerana bekas kekasihnya memilih untuk menjadi isteri kepada bangsawan yang dihuraikan seperti berikut: “Aku pun memuji orang bangsawan yang pandai memilih jodoh gadis-gadis terpelajar yang tentu tidak tersipu-sipu dan termalu-malu seperti gadis-gadis dusun yang kolot. Dan dengan senang dan senyum pula kau kelak diintroducekan dengan tetamu lain, berjabat tangan dan – kalau di majlis dancing – boleh pula kau dipinjamkan kepada tetamu atau sahabat-sahabat suamimu untuk berdansa.”

Namun, aku lebih tertarik dengan huraian perbezaan antara cinta dan sayang yang dihuraikan oleh Usman Awang melalui karekternya. Aku pernah mendengar beberapa huraian, malah aku memiliki huraian ku tersendiri. Tapi aku terkejut dan tertarik dengan huraian Usman Awang. Berikut adalah huraiannya:

“Hendaklah kau ketahui bahawa cinta itu tidak semuanya berakhir dengan perkahwinan. Cinta yang mesti berakhir dengan perkahwinan dan mahu mati kerana itu ialah cinta hawa nafsu. Nafsu yang hanya semata-mata memandang kepentingan perhubungan jenis lelaki dan perempuan. Aku tidak. Yang kukatakan cinta kepadamu selama ini ialah perasaan membela dan perasaan sayang.”

Nafsu dan membela seorang isteri atau kekasih sememangnya dua perkara yang jauh berbeza tetapi laluannya sama. Pengalaman aku sebagai wartawan meja jenayah telah membuka mata aku dengan lebih luas. Aku setuju dengan huraian Usman Awang tetapi aku juga percaya, dari perasaan membela, golongan kekasih ini boleh tergelincir ke nafsu dan begitu juga sebaliknya.

Lubang-lubang di Kayu… June 4, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Uncategorized.
1 comment so far

Aku, hari ini, mungkin berada di dalam satu zon perubahan, berubah menjadi lebih baik daripada diriku yang dahulu. Penggunaan perkataan mungkin dalam kata-kata ku ini kerana rakan-rakan yang menyatakan aku semakin berubah sedang diriku tidak beberapa pasti adakah perubahan dalam diriku ini benar-benar wujud.

Berubah… Aku tidak pasti…

Kebelakangan ini, aku sering terbayang parut-parut pengalaman yang kekal dalam diriku dan tidak akan hilang buat selamanya. Ibarat sebatang kayu yang telah dipaku dan kemudiannya paku itu dicabut, tetapi lubang paku tersebut kekal. Tidak seperti nasib kayu itu, lubang yang wujud angkara pihak lain. Manakala aku melakukannya terhadap diriku sendiri.

Tidak dapat dinafikan atau disangkal, parut-parut inilah yang mengubah kehidupan ku. Namun, kebelakangan ini, bayangan parut-parut ini semakin jelas terbayang di hadapan mata. Motif bayangan ini semakin jelas, aku tidak ketahui tetapi sedikit sebanyak, aku terjejas dengan bayangannya.

Adakah ini cabarannya untuk berubah? Adakah ini kesan bagi setiap kesalahan atau dosa yang pernah kita lakukan sebelum ini?

Seandainya kehidupan ini semudah permainan video, memulakan permainan kembali setiap kali kita melakukan kesalahan. Atau menggantikan terus katyu yang berparut ini dengan kayu yang baru, bukankah mudah. Tetapi inilah cabaran dalam kehidupan.

Lubang-lubang di kayu… Parut – parut pengalaman… Aku tiada pilihan lain melainkan meneruskan kehidupan ini dengan parut-parut ku ini…

Cermin terbaik adalah mata di sekeliling kita… May 19, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Kanvas.
add a comment

Makna kalimah Hijrah berbeza bagi setiap insan berasaskan pengalaman yang mereka lalui. Ada diantara mereka merasakan hijrah adalah sekadar peralihan tahun dalam kalender Islam, ada yang memahami hijrah itu sebagai satu perubahan dalam diri dan bagi ku, kalimah hijrah berbeza.

Hijrah yang aku lalui sangat unik sehinggakan aku tertanya apa yang berlaku sepanjang kehidupanku sebelum ini. Persoalan ini timbul apabila mereka memberi reaksi yang mendadak, tanpa aku dapat mengagak reaksi yang diberikan baik atau tidak.

Segalanya bermula apabila aku mula berhijrah tempat kerja dari sebuat syarikat produksi kepada syarikat stesen televisyen, FM Production ke TV Al Hijrah. Perubahan pertama yang ku lalui adalah dari segi skop dan cara kerja yang sedikit berbeza. Ketika ini waktu kerja 9 hingga 6 petang memang aku penuhi dengan sebaiknya. Tiada lagi istilah ‘tunggu malam’ untuk aku melaksanakan skripnya.

Perubahan kedua dari segi suasana bekerja. Di sini suasana kekeluargaan wujud dengan baiknya walaupun masih terdapat nila di tengah – tengah lautan susu ini. Malah hampir setiap petang ada sahaja seorang abang akan memberi tazkirah yang sedikit sebanyak mengubah cara kehidupan ku.

Bagi aku perubahan ini mungkin pernah dilalui oleh insan-insan yang lahir sebelum ku. Namun aku tidak tahu sama ada persekitaran mereka turut merasakan kesannya seperti mana yang berlaku di persekitaranku.

Pertama, rakan-rakan ku yang selama ini menjadi temanku pada waktu malam sudah bising kerana aku sudah lama tidak melepak dengan mereka. Bukan aku tidak mahu, tetapi kalau boleh aku tidak ingin kembali kepada kehidupan ku yang dahulu.

Kedua, rakan-rakan ku di pejabat baru ini memberi reaksi yang bercampur baur. Ada yang gembira sehinggakan ada yang merintiskan air mata kegembiraan, ada yang terkejut dan ada yang merajuk. Hahaha geli hati ku kala aku cuma membayangkan reaksi sahabat-sahabat ku ini.

Ketiga reaksi keluarga ku yang tampak gembira dalam masa yang sama mereka tertanya-tanya dan hairan dengan perubahanku.

Kesimpulan yang dapat aku rumuskan adalah sebahagian besar mereka memberi reaksi gembira dengan hijrah yang ku alami sehinggakan timbul persoalan adakah kehidupan aku dahulu terlalu teruk sehinggakan wujud reaksi-reaksi yang tidak aku jangka-jangka.

Hmmm… Siapa aku dahulu… Adakah terlalu berbeza dengan sekarang… Sukar untuk aku menjadi hakimnya kerana bagiku mata yang berada disekelilingku adalah cermin terbaik untuk menghakimkan keadaan ku kini.

Dunia Penulisanku… May 18, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Uncategorized.
add a comment

Robert Olen Butler, seorang penulis terkenal Amerika Syarikat yang juga salah seorang pemenang hadiah Pulitzer pernah menulis dalam bukunya mengenai dunia penulisan. Dia menyatakan dunia penulisan ini berbeza dengan dunia muzik atau dunia kreatif yang lain.

Butler menyokong kenyataan ini dengan menyatakan penulisan, ayat, perkataan dan huruf berasal daripada dunia yang serius seperti mana penggunaan nombor dalam kehidupan harian. Berbeza dengan dunia lukisan, fotografi dan muzik yang sememangnya lebih cenderung kepada kegunaan kreatif.

Disebabkan itu, Butler menyatakan seseorang penulis akan melakukan berpuluh-puluh kesalahan, beratus-ratus karya rosak dan menerima beribu-ribu kritikan sebelum terhasil satu karya yang boleh diterima ramai. Satu-satunya insan yang aku kenali yang dapat lari dari proses ini adalah Pak Samad.

Karya pertamanya bertajuk Salina yang dihasilkan ketika dirinya berusia 22 tahun telah membawa Pak Samad ke satu peringkat yang lain dan seterusnya menyumbang kepada pengiktirafan yang diterima pak Samad hari ini.

Sedang aku masih ditakuk umur 27 tahun dan semakin bertambah angkanya dari hari ke hari, masih gagal untuk menghasilkan karya kreatif yang bermutu sehinggakan ada rakan-rakan yang kebelakangan ini mula mencabar kewibawaan aku.

Penulisan berita aku pernah beberapa kali disiarkan di muka hadapan akhbar The Malay Mail tapi aku tidak pernah menerima anugerah tentangnya, penulisan skrip aku divisualkan bagi tontonan penonton untuk beberapa kali sahaja dan penulisan novel, cerpen dan puisi aku tak pernah siap.

Namun aku tidak akan berputus asa… biar aku terduduk, aku akan terus berdiri, biar aku tersadung aku akan terus berjalan, biar aku tersungkur, aku akan terus berlari.

Kepada sahabat, hasrat ku semakin membulat. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang mandi biar basah, alang-alang berdakwat, biar hitam. Genggam bara api biar sampai jadi abu, Biar putih tulang, jangan putih mata. Dari hidup bergelumang tahi, baik mati bertabur bunga

Hanya masa yang akan menentukan

Persoalan Demi Persoalan, Pilihan Demi Pilihan March 14, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Kanvas.
Tags:
add a comment

Dunia ini bulat dan luas. Malah, kita bebas untuk bergerak ke kanan, kiri, depan dan belakang, tanpa halangan.

Kita juga boleh untuk memilih untuk terus berdiri atau berjalan dan berlari, mengikut kehendak hati. Tapi persoalannya arah dan rentak mana yang benar-benar bersesuaian dengan keupayaan dan kemahiran kita.

Persoalan ini yang sering bermain di fikiran dan aku selalu bingung dalam membuat pilihan.

Memang benar, kalau tersalah pilih atau terduduk, kita boleh kembali berdiri, kalau terjatuh kita boleh kembali berjalan, kalau tersungkur kita boleh kembali berlari.

Tapi berapa kali harus kita terduduk, terjatuh dan tersungkur, baru kita sedar jalan yang dilalui ini adalah jalan yang benar atau salah. Berapa banyak parut yang perlu diabadikan dalam diri sebelum kita benar-benar mengerti jalan mana yang terbaik?

Dahulu aku berani merempuh. Merempuh ke setiap arah yang ada, sehingga di badan ku ini tersemat puluhan calar balar pengalaman. Kekadang kesan calar balar ini turut kekal bersama kepedihannya di dalam diri sehingga menjadikan aku semakin pengecut untuk merempuh lagi.

Kebelakangan ini, sikap pengecut semakin menjadi-jadi. Perut ku kecut kerana aku tidak lagi berjalan berseorangan. Aku ada rakan-rakan yang perlu ku pertimbangkan sebelum membuat keputusan, kerana aku takut tersungkurnya aku dikemudian hari akan memudaratkan sahabat-sahabat ku ini.

Selain itu, aku turut kecut bila diriku ditekan dengan soalan-soalan emas. Soalan ini semakin bertalu-talu diterima dari pelbagai penjuru, lebih-lebih lagi kala umurku semakin bertambah dari hari ke hari. Semakin hangat apabila ayah ku kian menunjukkan keinginannya.

Persoalannya, adakah insan yang sanggup terduduk, jatuh dan tersungkur dengan diriku ini? Aku kecut kerana pelbagai kejadian pernah berlaku di hadapan mata, tragedinya berlaku sekejap sahaja tapi impaknya kekal hingga akhir hayat.

Persoalan demi persoalan, pilihan demi pilihan…

Kami… March 10, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Kanvas.
Tags:
2 comments

Tolong jangan sesekali cuba memecah belahkan kami.

Itu rayuanku kepada golongan-golongan yang berduit. Aku tahu duit begitu berharga pada zaman ini. Aku tahu duit adalah lambang kekuasaan dan aku tahu duit mampu mengubah ikatan persahabatan kepada permusuhan.

Aku pernah melihat orang yang berpangkat menjadi hamba kerana duit, aku pernah melihat orang putus sahabat kerana duit dan aku pernah melihat darah merah mengalir kerana duit.

Oleh itu, aku mohon kepada insan-insan yang berduit ini agar jangan memecah belahkan kami. Kami datang secara berpasukan, kami datang dengan satu kapal. Janganlah sesuka hati kau ingin mengarahkan kami agar meninggalkan seorang rakan yang sudah lama. Aku mengenalinya lebih lama daripada kau.

Sekali lagi aku ingatkan: Kami datang sebagai satu gerombolan, kami berkhidmat sebagai satu kumpulan dan kami menikmati kemenangan sebagai satu pasukan.

Terima Kasih.

Sejarah ‘Three Kingdom’ berulang di FMP March 8, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in Kanvas.
Tags: , , ,
add a comment

Coretan ini ditulis selepas aku melawat beberapa blog rakan-rakanku yang masih bekerja dan yang sudah berhenti dari menawarkan khidmat di tempat lama, FM Production.

Pelbagai emosi diluahkan oleh mereka; ada yang sedih, ada yang keliru dan ada yang gembira. Malah, ada diantara mereka mula terkenang saat-saat ketika FM mula ditubuhkan.

Aku antara orang yang terlibat secara langsung dalam membawa masuk nama FMP dalam industri penerbitan negara dari FMP syarikat kedil, tanpa kerusi tanpa meja, hanya mengusahakan beberapa hours hinggalah kini, FMP telah memiliki bangunan sendiri dan menerbitkan lebih 100 jam setahun.

Antara insan lain yang memulakan syarikat ini adalah Paullina Oppei Paulus, Muhaimi, Syafinah Othman, Ahmad Fazlan Shah dan Airul. Kumpulan pertama yang membuat rancangan Bongkar untuk TV2.

Aku tidak boleh menafikan FMP adalah tempat aku mula-mula bertapak sejak bertukar industri dari berita kepada penerbitan. Aku juga tidak boleh menafikan yang aku cukup merindui suasana sebelum era ‘three kingdom’ melanda FMP.

Bagiku, apa yang berlaku hari ini adalah satu tragedi, seolah-olah era three kingdom dalam sejarah China berulang dalam FMP. Aku tidak tahu siapa Cao Cao, siapa Liu Bei dan siapa Sun Quan. Tetapi yang ku tahu adalah kesannya sama.

Bagaimana pertembungan tiga tokoh nie menyebabkan ramai di antara rakyat china kehilangan nyawa dan merana, begitu jugalah yang terjadi di FMP, cuma tiada pekerja yang kehilangan nyawa.

Setelah era Three Kingdom berakhir di China, Dinasti Jin telah bangkit. Tetapi di FMP eranya ke belakang, syarikat ini seolah-olah memulakan Dinasti Qin, satu dinasti yang bertanggungjawab dalam menyatukan China dan membina Tembok Besar China.

Memang usaha Dinasti Qin diingati hingga hari ini, tetapi jumlah insan yang terkorban lebih banyak lagi. Sama ada FMP pada hari ini mampu atau tidak membina ‘Tembok Besar China’, tidak ku peduli.

Aku cuma berharap pada masa akan datang, FMP akan lebih mementingkan kebajikan ‘rakyat jelata’. Semoga rakan-rakan yang tinggal akan dapat merasakan nikmat seperti mana yang ku rasa ketika era ‘three kingdom’ belum bermula.

Sebuah Kisah Pelacur Professional February 25, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in business, Dokumentari, Kanvas.
Tags: , ,
1 comment so far

Saya baru melakukan kunjungan terhadap salah sebuah blog sahabat saya. Dalam salah satu catatan terbarunya, sahabat saya mencoretkan secara tidak langsung satu kisah pelacuran abad ini.

Kisah pelacuran yang saya sebutkan bukan pelacuran yang tidak luput dek zaman, pelacur di tepi-tepi jalan, di spa atau di hotel-hotel. Kisah pelacuran yang saya katakan adalah pelacur professional.

Bagi saya pelacur professional ini adalah insan yang bekerja dalam sesebuah industri yang halal dan dia meletakkan satu imej atau jenama pada dirinya sehingga syarikat-syarikat akan berebut untuk menawarkan harga yang tinggi bagi mendapatkan kemahiran atau kualiti yang ada pada dirinya.

Sesetengah pelacur ini tidak memiliki kemahiran industri yang tinggi tetapi mereka berjaya menjual diri mereka sehingga ada syarikat yang meletakkan harga yang tinggi melebihi harga atau gaji yang sepatutnya.

Inilah salah satu kemahiran yang ingin ku miliki. Inilah kemahiran yang perlu ada pada para penganggur sacara khususnya, pada masyarakat Melayu secara umumnya.

Istilah pelacur ini hadir apabila membincangkan satu persoalan; mengapa insan filem lebih dikenali daripada insan dokumentari sedangkan insan dokumentari ini kerjanya lebih hebat, lebih berilmu dan lebih banyak cabarannya.

Kata salah seorang insan hebat dalam industri ini: “Orang dokumentari ni tak pandai ‘melacur’. Orang filem walaupun tak hebat cerita yang diterbitnya tetapi mereka kecoh dan heboh satu Malaysia. Tetapi orang dokumentari walaupun hebat ceritanya, hanya simpan dalam diri.”

Memang benar kata-kata ini. Kekadang orang tak pandang langsung hasil-hasil dokumentari kerana insan yang membuatnya hanya diam membisu. Orang dokumentari termasuk diriku tidak pandai menjual diri.

Produk yang paling penting dalam abad ini bukan lagi produk yang tersadai di kedai-kedai runcit, tetapi diri sendiri. Kita kena tahu, bagaimana kita hendak memasarkannya agar ada syarikat-syarikat yang akan berebut untuk mendapatkannya.

Tidak perlulah lagi terdapat insan-insan yang akan cakap belakang mempersoalkan insan yang lain; mengapa gajinya tinggi tapi kerja kurang bagus?

Sepatutnya insan-insan ini mempersoalkan diri sendiri mengapa aku tidak memperolehi kemahiran ini.