jump to navigation

Sebuah Kisah Pelacur Professional February 25, 2010

Posted by Mohd Yaakob Yusof in business, Dokumentari, Kanvas.
Tags: , ,
1 comment so far

Saya baru melakukan kunjungan terhadap salah sebuah blog sahabat saya. Dalam salah satu catatan terbarunya, sahabat saya mencoretkan secara tidak langsung satu kisah pelacuran abad ini.

Kisah pelacuran yang saya sebutkan bukan pelacuran yang tidak luput dek zaman, pelacur di tepi-tepi jalan, di spa atau di hotel-hotel. Kisah pelacuran yang saya katakan adalah pelacur professional.

Bagi saya pelacur professional ini adalah insan yang bekerja dalam sesebuah industri yang halal dan dia meletakkan satu imej atau jenama pada dirinya sehingga syarikat-syarikat akan berebut untuk menawarkan harga yang tinggi bagi mendapatkan kemahiran atau kualiti yang ada pada dirinya.

Sesetengah pelacur ini tidak memiliki kemahiran industri yang tinggi tetapi mereka berjaya menjual diri mereka sehingga ada syarikat yang meletakkan harga yang tinggi melebihi harga atau gaji yang sepatutnya.

Inilah salah satu kemahiran yang ingin ku miliki. Inilah kemahiran yang perlu ada pada para penganggur sacara khususnya, pada masyarakat Melayu secara umumnya.

Istilah pelacur ini hadir apabila membincangkan satu persoalan; mengapa insan filem lebih dikenali daripada insan dokumentari sedangkan insan dokumentari ini kerjanya lebih hebat, lebih berilmu dan lebih banyak cabarannya.

Kata salah seorang insan hebat dalam industri ini: “Orang dokumentari ni tak pandai ‘melacur’. Orang filem walaupun tak hebat cerita yang diterbitnya tetapi mereka kecoh dan heboh satu Malaysia. Tetapi orang dokumentari walaupun hebat ceritanya, hanya simpan dalam diri.”

Memang benar kata-kata ini. Kekadang orang tak pandang langsung hasil-hasil dokumentari kerana insan yang membuatnya hanya diam membisu. Orang dokumentari termasuk diriku tidak pandai menjual diri.

Produk yang paling penting dalam abad ini bukan lagi produk yang tersadai di kedai-kedai runcit, tetapi diri sendiri. Kita kena tahu, bagaimana kita hendak memasarkannya agar ada syarikat-syarikat yang akan berebut untuk mendapatkannya.

Tidak perlulah lagi terdapat insan-insan yang akan cakap belakang mempersoalkan insan yang lain; mengapa gajinya tinggi tapi kerja kurang bagus?

Sepatutnya insan-insan ini mempersoalkan diri sendiri mengapa aku tidak memperolehi kemahiran ini.